Hikayat Untuk Disampaikan


Sebuah hikayat yang pasti akan disampaikan turun-temurun buat renungan susur galur pemilik blog ini.

1996

Babak 1

Pada satu petang,seorang budak lelaki yang agak comel pada waktu itu duduk di depan pondok kawalan sebuah pejabat besar bewarna putih. Beg berwarna biru miliknya diletak ditepi bersandar kepada sebuah pasu bunga yang hidup segan mati tak mahu. Setelah tahap kebosanan mencapai tahap yang boleh tahan dia punya tingi, dia mula berlegar-legar tanpa arah.

Kemudian dia berlari seorang diri dari pondok kawalan itu menuju ke kawasan sekolahnya yang terletak betul-betul berhadapan dengan pejabat putih tadi. Dia mematah-matahkan ranting-ranting kering dan melemparkannya tanpa arah. Khusyuk dia bermain seorang diri tanpa mengetahui apa yang bakal dihadapinya pada masa depan nanti. Waktu persekolahan telah lama tamat kira-kira 1jam 30minit yang lepas dan kini hanya tinggal dia keseorangan. Selang beberapa minit kemudian, dia ternampak abahnya di pondok pengawal itu melambai-lambaikan tangan memanggilnya. Dia berlari kegembiraan sambil menjerit;

“Tolong ambik beg Along tu skali”.

Babak 2

Seorang budak lelaki yang agak comel berjalan beriringan dengan abahnya masuk menuju sebuah pasar. Destinasi dituju, kedai makan.

“Kak bagi macam biasa laa yer” Abah budak itu bersuara.

“Abah tak makan ker?” Tanya budak comel itu kehairanan.

“Abah dah makan dah rehat tadi kat kantin, sedap. Haha” Gelak agak besar disitu.

Makcik kedai makan itu datang dengan membawa sepinggan roti telur dibanjiri kuah dal dan segelas kecik milo ais. Budak itu makan dengan istiqamahnya. Selera benar dia makan, lapar barangkali. Maafkan saya, bukan barangkali, memang benar-benar lapar. Selesai makan mereka anak beranak menuju ke sebuah sekolah agama terletak didalam sebuah kawasan masjid. Budak itu berjalan ceria sambil melambai-lambai kearah abahnya.

“Duit belanje tu jangan beli jajan pulak, beli makanan berkhasiat” Pesan abahnya.

Budak itu menggeleng-gelengkan kepala tanda tidak mahu membeli makanan ringan seperti dipesan abahnya, sambil dalam kepala ligat berfikir untuk membeli Mamee Monster barang sepeket dua buat bekalan dihari muka.


1997

Babak 1

Seorang budak lelaki yang agak comel duduk ditangga sebuah masjid bersebelahan sekolah agamanya.Tangan beliau sibuk bermain getah gelang dengan membuat bentuk-bentuk yang baru dipelajarinya dari seorang rakan.

“Ni kereta Batman,Batman bawak laju, pastu ade orang jahat tembak-tembak dari belakang, ramai sangat kejar, pastu ade orang jahat yang paling jahat keluarkan bazooka besar, die tembak Batman, sebelum peluru tu kena terus kereta Batman tukar jadi jet pejuang, Batman terbang tinggi jauh-jauh tapi orang jahat kejar jugak tembak-tembak gune jet pejuang, pastu die tembak kene jet Batman, pastu jet tu pon jatuh tapi Batman sempat selamatkan diri gune belon udara panas”.

Begitulah sedikit sedutan fantasi liar monolog dalaman budak itu. Hanya tiga bentuk yang dia reti buat menggunakan getah gelang itu. Kereta Batman, jet pejuang dan belon udara panas. Budak itu terus bermain-main dengan getah itu dan bentuk-bentuk itu. Jalan cerita ditukar-tukar serta plot cerita diubah-ubah selaras dengan imaginasi cemerlang budak itu.

Hari semakin gelap. Sudah tiada lagi sebarang homosapien beruniform sekolah agama disekitar kawasan itu melainkan budak comel ditangga tadi. Dia kelihatan mula gelisah menanti kerana hari sudah gelap dan dia sudah keseorangan. Tidak lama kemudian, penantian budak itu berakhir. Abahnya telah tiba, dengan senyuman mempersona.

“Dah lama tunggu? Kita pergi hospital kejap yer” Abah memberikan kata putus.

“Buat apa nak pergi hospital?” Budak itu kehairanan sebelum menyedari sedikit kecederaan pada kaki abahnya.

“Tadi ada orang langgar abah” Abah tersenyum.

Budak itu kehairanan dalam kecomelan.

Budak itu dan abahnya menunggu di ruang menunggu di hospital. Mereka berbual.

“Abah tak masuk check kat dalam ker? Kaki luka tu kan?" Budak itu kehairanan dalam kecomelan sekali lagi. Dia juga bingung akan fungsi mereka ke hospital dan tunggu diluar saja.

“Tak, orang yang langgar tu dah masuk dalam dah. Dia yang teruk, abah steady jer”. Penjelasan abah agak meyakinkan disitu.

Tidak lama kemudian orang yang dimaksudkan keluar dari bilik rawatan. Keadaan beliau memang agak teruk. Dengan kecederaan yang teruk, beliau bersusah payah bertongkat keluar dari situ. Budak itu ketakutan melihat kecederaan yang dialami. Luka merah yang masih berdarah di kaki dan tangan serta balutan-balutan putih pada mangsa membuatkan budak itu beimaginasi akan zombie.

Abah menghantar mangsa itu ke perhentian teksi, membantunya mendapatkan teksi dan memberikan sedikit wang tambang. Sambil melambai-melambai kepada teksi, budak itu perasan abahnya memegang satu plastik berisi ubat-ubatan.

“Abah tu bukan plastik ubat brader tadi ker?” Satu soalan simple tapi padu.

.Dengan pantas abah berlari mengejar teksi tersebut untuk memulangkan kembali ubat milik mangsa yang sejak tadi berada ditangan abah. Budak itu melihat adegan itu sambil merasa sebak didalam hati. Dalam diam air matanya mengalir kesyukuran kerana abahnya selamat dan tidak mengalami kecederaan seteruk mangsa.

Babak 2

Seorang budak lelaki yang agak comel kelihatan sangat kebosanan menunggu di dalam masjid sementara hujan turun dengan lebatnya. Jam menunjukkan lebih kurang pukul 6.30 petang tetapi keadaan sudah seperti pukul 10 malam. Gelap sepenuhnya diiringi cahaya kilat sabung menyabung. Bunyi petir menjadi melodi rintik hujan yang lebat sejak sejam yang lalu. Budak itu seperti biasa tenang dan sabar menunggu kerana itu sudah menjadi sebahagian rutin harian dia. Dia sudah biasa sangat menunggu seorang diri sementara menanti abahnya datang menjemput. Menunggu bukanlah menjadi masalah besar baginya tapi hatinya gundah gulana serta ketakutan memikirkan ribut yang melanda. Dia juga kebosanan kerana tidak boleh melilau dikawasan itu dan terpaksa duduk comel-comel menanti hujan reda.

Selepas lebih kurang sejam berlalu, budak itu sudah mula risau. Tiada sebarang medium untuk dia menghubungi ibu atau abahnya. Beliau hanya duduk dan berdoa memohon abahnya dimudahkan untuk cepat datang menjemputnya. Inilah berkat sekolah agama. Tidak lama kemudian, budak itu ternampak susuk tubuh abahnya berlari-lari tanpa payung dalam hujan menuju kearahnya. Budak itu terharu, air mata gembira mengalir.

“Aik abah jalan kaki je ker?” Soalan subjektif dengan jawapan terbuka diajukan.

“Haa aa. Banjir laa kat jalan nak datang sini. Abah parking kat ofis tadi. Pastu berjalan datang sini. Sekarang kita kene redah hujan ni laa berjalan balik pergi ofis” Jelas abah yang nyata kelelahan meredah hujan lebat.

Budak itu tersenyum. Inilah peluang dia bermain hujan tanpa sebarang rasa bersalah dan takut-takut dimarahi. Songkok dan sampin sekolah agama budak itu dimasukkan kedalam beg. Abah mengambil beg budak itu dan memimpin tangannya. Mereka mula meredah hujan lagak hero macho filem Korea. Kadang-kadang sedikit berlari, dan kadang-kandang jalan selamba. Budak itu sikit punya seronok disirami hujan lebat. Terasa mandi air terjun gayanya.

Mereka melalui sebuah gerai. Kelihatan ramai orang berteduh di gerai itu. Abah membuat keputusan untuk berehat seketika. Teh tarik dan milo suam dipesan. Ketika abah sedang berehat, budak itu lebih terpikat untuk terus main hujan dilongkang sebelah gerai. Air yang sangat laju melalui longkang itu menjadi modal budak itu bermain. Dicabut rumput dan ranting-ranting, dicampak kedalam air deras itu lantas terus dia berimaginasi menyaksikan sebuah perlumbaan motor di litar.

Dua beranak itu meneruskan perjalanan mereka meredah hujan. Dan kini mereka sampai di tempat banjir teruk hasil daripada hujan yang masih tidak berhenti. Jalan yang dipenuhi air yang terpaksa mereka tempuhi itu agak panjang. Kelihatan beberapa buah kereta sudah tersekat didalamnya kerana enjin masuk air barangkali. Motorsikal-motorsikal yang tidak berani menempuhi dugaan itu berhenti ditepi dengan harapan menunggu air surut sedikit. Penunggang yang berani mencuba nasib dengan selamba meredah air berakhir dengan mereka terpaksa turun dan menolak motorsikal mereka.

Situasi sangat membimbangkan tetapi tidak bagi budak itu. Dia dengan penuh ghairah tidak sabar-sabar meredah banjir berarus deras itu. Air yang mencecah paras pinggang budak itu sedikit pon tidak menggoyahkan semangat budak itu untuk terjun kedalamnya.

“Meh abah dokong, dalam ni, air pun laju” Abah memberi tawaran yang wajar diberikan untuk meredah banjir.

“Takpe-takpe, nak mandi ni” Budak itu kelihatan tidak sabar.

Mereka mula meredah banjir. Budak itu begitu seronok mengharungi arus deras sambil memegang erat tangan abah. Arus deras sekali-sekala menghanyutkan budak itu. Tapi dia tetap seronok. Abah hanya melayan kerenah budak itu sambil tersenyum dalam kesusahan itu.

Hari semakin gelap. Hujan masih menemani malam. Mereka tiba di pejabat abah. Pejabat besar berwarna putih yang terletak berhadapan sekolah budak itu. Budak itu kelihatan seronok sangat dengan pengalaman itu. Mereka meneruskan perjalanan ke rumah. Esoknya budak itu demam dan tidak kesekolah dan tidak juga kesekolah agama. Rancangan budak itu menjadi.


Kesimpulannya...

Selamat Hari Lahir ke-50 Abah

27 May 2011

jasamu dikenang, pengorbananmu tidak terbalas, terima kasih untuk segalanya. dari anakandamu...

(Enche' Azni bin Abdul Razak di zaman muda-muda bersama budak lelaki comel itu)


p/s 1: segala cerita diatas adalah betul. walaubagaimanapun tahun kejadian adalah berdasarkan anggaran penulis.

p/s 2: cerita2 diatas diceritakan kembali kerana signifikan kejadian tersebut. cukup sekadar sedikit cerita dari zaman sekolah rendah. takboleh byk2 nnt tahun depan takde modal da nak tulis.

Comments